Pages

Dr ‘Love’



Orang cakap, kalau tidak dapat doktor perubatan, dapat doktor falsafah pun jadilah. Namun dalam menjadi doktor falsafah nih, ada ke tidaknya doktor ‘love’?

Kebanyakannya pesakit yang tidak memerlukan beratur di farmasi yang panjang. Namun cukup sekadar lidah bercakap, mata memandang, idea dilontarkan. Ia tidak lain ialah pesakit hati. Namun dalam ramai-ramai yang memerlukan rawatan hati, kebanyakannya suka kepada rawatan hati berbentuk cinta. Sudah semestinya cinta itu datangnya dari hati.

Ada yang mengadu perangai ‘pakwe’, BF atau nama pertaniannya ‘balak’ masing-masing. Ada juga yang sudah berumahtangga yang meminta pandangan dari sudut konflik rumahtangga. Walaupun saya baru setahun berumahtangga namun ianya suatu yang positif kerana mematangkan saya.

Namun, amat jarang dari seorang lelaki yang suka bertanya masalah ‘couple’ dan kisah cintanya kepada saya. Saya juga lelaki. Saya sangat memahami mengapa lelaki jarang bercerita tentang cintanya. Bila ditanya, adakah lelaki sedih bila gagal bercinta. Jawapannya mudah. “Ada aku kesah!!”

Itu bagi lelaki yang mana ke’macho’annya dikawal. Bagi lelaki yang agak sentimental, gagal dalam bercinta mampu membuatkan menitisnya air mata. Lalu hujung tangga asrama menjadi tempat pilihan menahan pilu. Sajak dikarang umpama sasterawan. Tempoh mandi di bilik air bertambah panjang. Manakan tidak, sebab terlalu banyak lirik lagu rock kapak yang didendangkan. Namun bila ditanya kawan, “Ko pesal sedih-sedih ni?”. Jawapannya mudah. “takde aper..saja teringat mak di kampung.” Sambil mata bertakung air yang katanya masuk habuk. Itulah lelaki. Mereka lebih suka dianggap perwira, daripada dianggap pencinta wanita.

Orang kata, kalau hendak menjadi ‘doctor love’, anda juga perlu menjadi seorang ‘lover’. Jadi sudah semestinya menjadi ‘mat flower’ itu lebih hebat operasi pembedahan dalam merawat pesakit cinta. Walaupun saya bukanlah seorang ‘mat bunga’, namun saya juga pernah bercinta. Saya juga tahu bagaimana perasaan seorang pencinta wanita dan juga perasaan sang buaya. Bukan disebabkan saya seorang buaya. Tapi, sinonim bagi lelaki ialah buaya. Walaupun ia malu-malu kucing untuk mengakui kebuayaannya.

Apa yang menarik yang ingin dikongsi di sini ialah, Ustaz tidak mempunyai pengalaman sebagai pencinta wanita. Bukan seorang Mat Jiwang Karat. Kisah percintaan beliau bermula dari saat wanita yang dicintai itu di’halal Jakim’kan oleh ibu bapanya sendiri. Ya, cinta selepas berkahwin. Beliau tidak melalui perjalanan cinta seperti remaja kini. Beliau tidak melalui cinta yang penuh dengan rindu dendam, cemburu rabun dan setia ke kuburan seperti yang dialami oleh saya sendiri. Mana mungkin beliau boleh memahami jiwa seorang remaja dan konflik percintaan andai teori semata tanpa pengalaman.

Andaian saya terpesong. Rupanya walaupun tidak mempunyai pengalaman. Tidak ber’kapel mapel’. Tidak berpacaran. Juga mampu memahami apa itu percintaan. Beliau menghurai perasaan hati seorang pencinta seolah-olah itu kisah cinta kita. Beliau memberi contoh yang ternampak seakan-akan itu kisah cinta aku dan ‘dia’. Teori yang diberikan membuatkan remaja yang memenuhi Kolej Keris Mas UKM sanggup berpayung di bawah hujan, sehingga penuh ‘bus stand’ menunggu bas yang tak kunjung tiba. Hatta sang lelaki yang memenuhi bukit-bukit sekitar pentas forum tidak berganjak. Terasa seolah berada di ‘Sepang Circuit’. Anak muda semuanya ternanti-nanti teori cinta yang diragui selama ini dengan menariknya dikupas oleh Ustaz Hasrizal. Manakan tidak. Kisah cinta semua melaluinya. Kisah cinta semuanya tersemat dihati. Nama pun anak muda, takkan tiada hati dan perasaan. Siapa yang berkata ia tidak mempunyai cinta dan perasaan, ketahuilah bahawa ia seorang yang perasan.

Kesimpulan mudah. Walaupun tidak bercintan-cintun, namun kita mampu merungkai permasalahan cintan andai kita mengkaji dan memerhati cinta dari petunjuk syariat. Tidak semestinya untuk menjadi seorang ‘Doktor Love’ itu memerlukan anda turun padang dalam ber’couple’. Dan bukan semestinya anda yang sudah memiliki banyak koleksi ‘aweks’, mampu berhujah tentang cinta, andai anda sekadar mabuk cinta, khayal rindu dan cemburu tak menentu. Melainkan anda ada akal mengkaji dimana cinta itu perlu dimakamkan.

sumber>http://www.imamudasyraf.com/v1/?p=215